Pelbagai

Penantian 4 tahun ibu tunggal dapat dokumen diri berakhir

Raja-Devi

KLANG 13 SEPTEMBER : Penantian sejak empat tahun ibu tunggal, Raja Devi, 34, dan empat orang anak bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri berakhir apabila memperolehinya hari ini.

ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, kejayaan ini diperolehi apabila beliau dan sukarelawan pejabat Dun Sri Andalas, Tamil Maran bertungkus-lumus menguruskannya agar mereka memperoleh dokumen penting itu.

“Raja Devi bersama anak lelaki beliau berumur 15 tahun menerima Mykad biru, manakala tiga lagi anak beliau berumur 10, 9 dan 5 tahun menerima sijil kelahiran masing-masing.

“Harap dengan dokumen ini dapat lebih memudahkan keluarga ini melakukan urusan rasmi termasuk bagi mendapatkan pekerjaan,” kata Dr Xavier di sidang media penyerahan Mykad di pejabat beliau.

Sebelum ini, beliau dan Tamil Maran berusaha menyelesaikan urusan itu dan berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Hospital Klang, Port Dickson serta Kuantan bagi mendapatkan bukti kelahiran ahli keluarga ibu tunggal yang cacat penglihatan itu.

“Saya sangat terharu dengan pengorbanan Dr Xavier dan Tamil tidak berputus asa untuk beliau mendapatkan dokumen kewarganegaraan Malaysia yang sah,” kata Raja Devi.

Dalam pada itu, Pejabat DUN Sri Andalas turut membantu mendaftarkan anak sulung Raja Devi, Logeswaran ke institut kemahiran My Skill Foundation di Klang dan dua anak beliau yang lain dibantu bagi pendaftaran sekolah rendah.

 


Pengarang :