SELANGOR

Penganjur Malaysia-Barcelona FC beri cek tendang, MBSA rugi RM322,471

MALAYSIA BARCELONASHAH ALAM 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerugian RM322,471 berikutan penganjur perlawanan persahabatan bola sepak antara Malaysia dengan FC Barcelona menggunakan cek tendang.

Cek itu adalah bayaran penyewaan Stadium Shah Alam daripada penganjur BSC Soccer (M) Sdn Bhd pada perlawanan 10 Ogos lalu.

Hal itu disedari 20 Ogos lalu apabila bank memaklumkan cek yang dideposit MBSA tidak boleh ditunaikan kerana memerlukan tandatangan pihak kedua dari penganjur.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata MBSA sudah membuat laporan polis selain membawa perkara itu kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MBSA hari ini, beliau berkata, penganjur juga boleh disenarai hitam dari menganjurkan sebarang acara khususnya membabitkan sukan bola sepak di Selangor.

“Penganjur dikenakan bayaran sewaan penggunaan Stadium Shah Alam RM300,000 untuk perlawanan sebenar dan RM42,471 untuk latihan pasukan Barcelona.

“Penganjur hanya bayar RM20,000 untuk penyewaan stadium untuk latihan dan cek tendang bernilai RM300,000 pula diberi kepada MBSA sebaik sahaja perlawanan persahabatan berakhir,” katanya

Selain kerugian hasil sewaan, Mohd Jaafar berkata, MBSA juga terpaksa menanggung kos kerja pembersihan dan lampu sorot stadium.

– FZL


Pengarang :