SELANGOR

Peranan pesuruhjaya bangunan, JMB dan MC diperkemas

iskandar samadSUBANG JAYA 24 SEPT : Seiring dengan Belanjawan Negeri 2014, peranan Persuruhjaya Bangunan (COB) akan diperkemaskan supaya pembangunan perumahan strata di Selangor terus rancak.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Ir Iskandar Abdul Samad berkata langkah ini akan menguja perkhidmatan yang lebih proaktif terutamanya dari segi penyampaian khidmat, melalui peruntukan sumber yang munasabah.

“Persuruhjaya Bangunan kurang berkesan dalam menjalankan tugas kerana kekurangan sumber, antaranya kekuarangan kakitangan. Langkah ini akan dijalankan demi kebaikan semua pihak terlibat selain orang ramai selaku penghuni di kawasan-kawasan berkenaan,” jelas Iskandar, di sesi Dialog Majlis Belanjawan 2014.

Iskandar bertindak sebagai moderator dalam sesi itu iaitu Program Memberdayakan Masyarakat Di Pembangunan Perumahan Strata membabitkan pembentang kertas kerja, Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn Bhd, Ishak Ismail.

Skim strata merupakan suatu pembangunan hartanah yang membahagikan bangunan atau tanah kepada petak-petak, petak aksesori dan harta bersama serta telah ditetapkan sistem pengurusan bagi skim tersebut. Contoh pembangunan srata adalah rumah pangsa, pangsapuri, kondominium, townhouse dan rumah-rumah dalam skim komuniti berpagar.

Peranan utama COB adalah memastikan Pemaju, Pemilik Petak, Ejen Pengurusan, Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam pengurusan dan penyenggaraan bangunan dan harta bersama dalam keadaan yang memuaskan.

Serentak dengan itu, JMB dan MC juga akan dibantu supaya penyampian khidmat dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

“Kita akan membantu dari segi pendidikan dengan mereka ini mendapat kursus bimbingan secara bersepadu melalui institusi tertentu,” katanya. Turut dipertimbangkan adalah pemberian elaun kepada JMB dan MC supaya badan-badan itu mampu berdikari.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga mahu melihat samada jumlah penduduk bagi sesuatu kawasan perumahan perlu dikawal.


Pengarang :