PKR: Tindakan segera selamatkan universiti awam | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Lizawati Madfa

PKR: Tindakan segera selamatkan universiti awam

universitiSHAH ALAM 11 SEPTEMBER : Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan penurunan kedudukan universiti-unversiti awam negara dalam senarai kedudukan universiti dunia, Quacquarelli Symonds World University Ranking 2013.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata Kerajaan Pusat dan rakyat Malaysia umumnya perlu menghadapi kenyataan institusi pengajian awam negara perlu diselamatkan.

“Hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.


“Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya universiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Senarai ini adalah salah satu daripada tiga senarai kedudukan universiti antarabangsa yang berpengaruh dan diikuti ramai, disamping Times Higher Education World University Rankings dan Academic Ranking of World Universities.

Laporan itu menunjukkan enam daripada tujuh universiti awam Malaysia corot.

Laporan dibuat berdasarkan kepada enam ciri penting iaitu pencapaian akademik, kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan, nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti, rujukan penyelidikan, keantarabangsaan pelajar dan tenaga pengajar fakulti.

Enam universiti tempatan yang mengalami kemerosotan adalah Universiti Malaya (UM) daripada kedudukan 156 pada tahun 2012 ke kedudukan 167 pada tahun ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada kedudukan 261 ke 269, Universiti Sains Malaysia (USM) daripada kedudukan 326 ke 355 pada tahun ini.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula merosot daripada 360 ke kedudukan 411-420, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) daripada kedudukan 401-450 ke kedudukan 501-550 dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) daripada kedudukan 601 ke 701 pada tahun 2013.

Manakala hanya satu sahaja institusi pendidikan tinggi awam negara iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meningkat daripada 358 pada tahun 2012 ke kedudukan 355 pada tahun ini.

“Masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya graduan Melayu Bumiputera banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang setiap tahun disahkan oleh kedudukan ranking universiti awam negara,” jelas Rafizi.

Beliau menyarankan enam langkah untuk memulihkan integriti dan mutu universiti awam negara dalam masa 10 tahun akan datang, yang beliau tegaskan perlu digerakkan mulai sekarang.

Langkah-langkah tersebut adalah: mengembalikan kebebasan akademik dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campurtangan Kerajaan; pemilihan kepimpinan universiti mengikut merit bersandarkan kepada kredibiliti, pengalaman dan integriti; menghentikan sebarang aktiviti atau program yang berunsur propaganda politik atau yang mengongkong pemikiran kritikal siswazah; sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada pelajar terbaik di universiti-universiti terbaik di Malaysia; dan pemerkasaan kredibiliti akademik fakulti dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia.

“Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran UM berada di tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang,” ujarnya lagi.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION