SELANGOR

Rakyat perlu ambil peluang guna Enakmen Kebebasan Maklumat

Rajiv-&-Ahmat

PETALING JAYA, 13 SEPTEMBER: Rakyat Selangor perlu mengambil peluang di atas Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 yang mula dikuatkuasakan pada 5 Mac lalu demi kepentingan masyarakat awam.

ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, melalui langkah itu rakyat dapat mengetahui secara mendalam ketelusan minit mesyuarat jawatankuasa meluluskan projek dan maklumat status sesuatu projek.

Ianya juga memberikan peluang untuk mengetahui sekiranya terdapat elemen rasuah dalam proses perlaksanaan projek.

“Orang awam mesti lebih peka dan boleh bertanya lebih tentang apa dihadapi, contohnya kalau tempat selalu banjir tetapi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kata tiada duit untuk baiki longkang.

“Orang awam boleh dapatkan maklumat ke mana duit itu pergi atau mana longkang yang sudah dibaiki sebelum ini dan berapa kosnya.

“Dahulu tak boleh dapat maklumat panjang lebar atau lebih mendalam tetapi sekarang boleh dapat maklumat tambahan seperti ini yang tak boleh dapat sebelum ini,” kata beliau.

Rajiv berkata demikian selepas menyerahkan permohonan status pembangunan di Seksyen 13 Petaling Jaya di Pejabat Timbalan Setiausaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau menghantar permohonan pertama itu bagi mengakses maklumat mengikut Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 yang diluluskan di Sidang Dewan Negeri Selangor pada 2011 lalu.

Dalam permohonannya, beliau memohon maklumat pembangunan di Seksyen 13 Petaling Jaya yang diluluskan dan yang masih dalam pertimbangan MBPJ.

Menurut Rajiv, kawasan tersebut dahulunya zon industri mengalami pembangunan pesat selepas ditukar kepada kawasan komersial sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas sekaligus membimbangkan penduduk setempat.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha MBPJ, Ahmat Mohayeen Said memberitahu, permohonan dibuka kepada semua pihak itu boleh dilakukan dengan mengisi borang yang disediakan di kaunter MBPJ dengan bayaran RM2 untuk yuran permohonan dan RM10 bagi yuran pemprosesan.

Setiap permohonan akan mengambil masa 30 hari untuk diproses kecuali kes kecemasan yang melibatkan nyawa seperti bencana alam, runtuhan bangunan atau sebagainya yang kurang tujuh hari berdasarkan kes.


Pengarang :