SELANGOR

Jadi saksi pertemuan Najib-Saiful kemudian pendakwa kes Fitnah II

safee

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Sekalipun terlibat sama dalam pertemuan antara Saiful Bukhari Azlan dengan Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Shafee Abdullah kekal sebagai pendakwa utama kes liwat 2

Keputusan itu diputuskan sebulat suara panel tiga hakim mahkamah rayuan, Datuk Ramli Ali (ketua), Datuk Ruhana Yusof (mengganti Datuk Tengku Maimon Tuan Mat) dan Mohd Zawawi Salleh.

Ia menyebabkan konflik kepentingan antara saksi dan pendakwa dalam pertuduhan terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berikutan itu, Anwar bercadang memfail permohonan bagi menyemak semula keputusan berkenaan di Mahkamah Persekutuan dalam masa terdekat.

“Umum tahu Datuk Shafee adalah peguam Perdana Menteri, kerajaan, Umno dan semua kes yang menentang saya dan dia kata dia tidak campur, tidak bias tetapi gelagatnya lebih dari ahli politik Umno, semua orang tahu.

“Dia juga mengaku berada di rumah Datuk Najib ketika kehadiran Saiful selama dua hingga empat jam dan kata dia tidak bincangkan dan tahu apa-apa, hanya minum kopi?

“Perkara ini tidak pernah dinafikan,” katanya sejurus selesai prosiding permohonan mengenepi Shafee sebagai pendakwa utama di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini.

Anwar juga mendakwa Shafee kerap membuat tuduhan yang tidak sopan secara melulu ketika berhujah di mahkamah.

Sementara itu, prosiding rayuan kes Fitnah II disambung pada tarikh belum ditentukan

Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Anwar tidak bersalah atas tuduhan yang direka Saiful Bukhari.


Pengarang :