NASIONAL

‘Subsidi tiada dalam Islam’, pandangan politik sempit

fatul manutySHAH ALAM, 11 SEPT : Pandangan Ulama Umno, Fathul Bari Mat Jahya mendakwa ‘tiada subsidi dalam Islam’ dan yang ada ‘adalah cukai’ adalah pandangan politik sempit yang tidak berlandaskan ilmu dan realiti masa kini.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata walaupun tiada istilah subsidi semasa pemerintahan Islam dahulu namun itu bukan hujah kukuh untuk mendakwa tiada subsidi di dalam Islam.

“Fathul perlu belajar mendalami ilmu Islam sebelum mengeluarkan sebarang pandangan, kenyataan itu mentah dalam memahami konteks Islam dan siasah (politik),” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Dr Manuty berkata, pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab memberikan penekanan kepada kebajikan rakyat melalui pemberian bantuan kepada rakyat miskin.

“Adalah menjadi tugas kerajaan menjaga kebajikan rakyat melalui pemberian bantuan subsidi bagi mengurangkan bebanan rakyat,” kata Dr Manuty.

Sebelum ini ,Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan dan Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainol Abidin turut membidas kenyataan Fathul yang mengelirukan orang ramai.

Fathul dalam satu tulisan beliau yang disiarkan akhbar Sinar Harian bertarikh 8 September mendakwa kenaikan harga minyak dan harga barang adalah ‘ketetapan Allah’.

Minggu lalu, Kerajaan Umno-BN mengumumkan kenaikan harga Petrol Ron 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter manakala Ron 97 sebanyak 15 sen seliter.


Pengarang :