NASIONAL SELANGOR

Syarikat dituduh mencemar sungai diarah kosongkan premis

DSC_0340

RAWANG, 9 SEPT : Kilang yang didakwa menyebabkan pencemaran minyak Sungai Selangor diarah mengosongkan premis oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang dalam masa 30 hari, berkuatkuasa 9 September.

Penolong Penguatkuasa MPS, C Paramasivam berkata MPS telah menempatkan anggota-anggota mereka di premis tersebut bagi memastikan pemilik mematuhi arahan itu.

Premis yang disita itu telah dibuka semula hanya bagi tujuan itu. Semua peralatan, kemudahan dan barangan yang dibawa keluar dari kilang itu akan direkodkan.

“Pemilik kilang boleh melakukan kerja-kerja pengosongan premis bermula hari ini (9 September) iaitu seawal jam 8 pagi hingga 7 malam. Kalau kilang ini tidak dapat dikosongkan dalam tempoh sebulan, kita tunggu arahan selanjutnya daripada YDP,” katanya kepada Selangor Kini.

Kilang yang mengambil kontrak pembuangan sampah secara haram kira-kira 13 tahun lalu mula dihimpit kontroversi setelah didakwa bertanggungjawab terhadap pembuangan sisa minyak hitam ke Sungai Gong, yang mengalir keluar ke Sungai Selangor, baru-baru ini.

Selaras dengan respon Kerajaan Negeri, MPS bertindak pantas dan menyita kilang tersebut pada 31 Ogos lalu dan merampas 20 peralatan seperti alatan kimpalan serta dua buah lori tangki yang mengandungi minyak hitam.

Sementara itu, seorang kakitangan di syarikat berkenaan yang enggan dikenali menjelaskan pihaknya akur dengan keputusan MPS itu dan berjanji akan mengosongkan kilang itu dalam tempoh ditetapkan.

Beliau turut memberitahu, kesemua barangan daripada kilang itu akan dipindah ke beberapa lokasi berbeza antaranya, Ampang, Kundang, Klang dan Ijok.

“Susah untuk siapkan (pengosongan kilang) dalam tempoh sebulan, tetapi kami akan cuba. Pemilik cadang hendak pindah tahun depan tetapi kilang ini telah disita terlebih dahulu,” katanya.


Pengarang :