Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Kelemahan PRU 13 makin terbongkar dalam Tribunal Rakyat

tribunal

SUBANG JAYA, 21 SEPT : Kira-kira lapan saksi hari ini tampil memberi keterangan di hadapan panel pada hari ketiga Tribunal Rakyat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) di Hotel Empire, di sini.

Saksi pertama, Ketua Kampung Tual Kuala Lipis, Pahang, Yok En menghangatkan suasana apabila mengakui bahawa orang asal di kawasan itu ‘dipaksa’ supaya tidak mengundi parti lain selain Umno-BN dalam pilihan raya.

Katanya, semua penduduk kampung dijanjikan pemberian wang sebanyak RM20 sekiranya mengundi calon BN.

“Tidak semua penduduk kampung yang keluar mengundi menerima insentif itu meskipun mereka (BN) telah berjanji,” katanya.

tribunal logo

Mengesahkan perkara itu, seorang lagi saksi dari kawasan sama yang dikenali sebagai Sani mengatakan sekiranya orang asal tidak mengundi BN, polis akan menangkap dan mengeluarkan saman kepada mereka.

Pakar kimia, Steven Ng pula mendedahkan dakwat kekal yang digunakan semasa PRU-13 pada Mei lalu hanya mengandungi satu peratus argentum nitrat (silver nitrate).

Sedangkan katanya, dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya lazimnya mengandungi antara 10 hingga 18 peratus argentum nitrat larut yang akan meninggalkan tanda kehitaman dan bertahan selama beberapa hari.

Penganalisis, Steven Choong yang menerangkan prosedur pengundian semasa pilihan raya berpendapat kotak peti undi awal tidak seharusnya disimpan di balai polis sebaliknya perlu diletakkan di bawah jagaan pegawai penguatkuasa.

Sesi petang pula menyaksikan pendedahan oleh dua petugas media portal online dari Malaysia Kini dan Free Malaysia Today berhubung salah laku Umno-BN menggunakan jentera kerajaan semasa tempoh berkempen di Parlimen Batu dan Tebrau.

Ia kemudian disusuli oleh tayangan video berdurasi kira-kira 30 minit yang memaparkan temu bual bersama ahli akademik Universiti Malaya, Profesor Edmund Terence Gomez yang menyifatkan tempoh 10 minit kepada parti politik untuk membentangkan manifesto pilihan raya menerusi siaran radio sebagai sesuatu tindakan tidak adil.

Pegawai Eksekutif Pusat Wartawan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah pula membentangkan kajian berhubung beberapa isu yang terpaksa dihadapi wartawan dan editor semasa pilihan raya.

Katanya, kebanyakan wartawan yang bekerja di media arus perdana tidak diberi kebebasan untuk menulis rencana negatif berhubung Umno-BN.

Seorang lagi saksi, Profesor Zaharom Nain berkata, liputan berita oleh media arus perdana bersifat berat sebelah berbanding portal online yang menyiarkan berita seimbang dengan menonjolkan kedua-dua parti Umno-BN dan Pakatan Rakyat (PR).


Pengarang :