NASIONAL

Tarik gelaran sasterawan cubaan alih isu harga minyak naik

imagesSHAH ALAM, 5 SEPT – Kerajaan BN cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada isu peningkatan harga minyak apabila menimbulkan isu penarikan balik gelaran Sasterawan Negara daripada Datuk A Samad Said.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan tidak boleh menidakkan sumbangan Pak Samad yang banyak menyumbang memartabatkan kesusasteraan Melayu.

“Mereka cuba alih perhatian isu peningkatan harga minyak dengan memangsakan Pak Samad dengan apa-apa jua alasan.

“Apakah dengan membawa bendera lain dianggap hina bendera negara? Banyak himpunan yang membawa pelbagai bendera negara lain dan ia tidak bermakna menghina bendera sendiri,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek membuat kenyataan terbuka kerajaan tidak menolak kemungkinan menarik balik gelaran itu daripada Pak Samad.

Abdul Samad Muhammad Said atau lebih di kenal sebagai A Samad Said dianugerah gelaran Sasterawan Negara Malaysia pada 1986.

Beliau juga dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 1997.

Ibrahim berkata, kerajaan tidak harus menjadikan Malaysia umpama negara polis apabila melakukan tangkapan sewenang-wenangnya ketika dialog dan perbincangan boleh digunakan bagi menjernihkan keadaan.

“Pemimpin Umno BN patut mengadakan dialog bersama Pak Samad dan bukan mencemuhnya di media.

“Di sanubari rakyat, Pak Samad bukan sahaja Sasterawan Negara, malah terkenal sebagai hero kerana kekentalannya dalam memperjuang prinsipnya dan melawan kemungkaran kerajaan,” katanya.

Baru-baru ini, Pak Samad ditahan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada tengah malam sebelum dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi.

– FZL


Pengarang :