KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Tuduhan bodoh: Rafizi cabar Nazri debat

rafizi nazriPETALING JAYA, 4 SEPT: Kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa saranan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli adalah bodoh berhubung isu kenaikan harga minyak dijawab oleh Ahli Parlimen Pandan tersebut hari ini.

Ikuti kenyataan penuh Rafizi hari ini.

TUDUHAN BODOH OLEH NAZRI AZIZ: SAYA SEDIA BELAJAR DARINYA MELALUI DEBAT ATAU FORUM

Saya tidak mengambil hati dengan kata-kata kasar yang dikeluarkan oleh Dato? Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa saya seorang budak yang bodoh seperti yang dilaporkan oleh laman-laman media.

Cadangan yang saya ajukan adalah ikhlas dan selari juga dengan kenyataan yang dibuat oleh rakan cabinet Dato? Seri Nazri Aziz iaitu Saudara Khairy Jamaluddin, yang mengaku kononnya kementerian di bawahnya sedang menjalankan program penjimatan untuk mengurangkan belanja.

Salah satu cara termudah untuk menjimatkan perbelanjaan dana awam ialah dengan membatalkan keistimewaan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat yang kini dinikmati oleh menteri, timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan mereka. Ini akan mengajar mereka supaya lebih berhati-hati dalam merancang perjalanan dan program mereka.

Persoalan bahawa langkah ini perlu dilaksanakan dahulu di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidaklah relevan kerana rakyat membayar cukai kepada Kerajaan Persekutuan, bukannya kerajaan negeri. Pun begitu, saya akan menulis secara rasmi kepada Menteri-menteri Besar Pakatan Rakyat agar mengemukakan langkah-langkah untuk mengurangkan belanja petrol yang ditanggung oleh rakyat dalam mereka menjalankan tugas mereka.

Mengambil kira kenyataan yang dibuat oleh Dato? Seri Nazri Aziz semalam, saya sudi untuk berdebat atau bersemuka dengan beliau di dalam satu forum untuk belajar dari beliau apakah sebab-sebab kenapa Barisan Nasional bertindak membebankan rakyat dengan menaikkan harga minyak. Saya pasti beliau boleh mempamerkan kepintaran beliau kelak dengan tampil bersemuka dengan saya dan biarlah rakyat menghakimi betapa pintarnya beliau.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
4 SEPTEMBER 2013


Pengarang :