SELANGOR

2,003 graduan Unisel terima ijazah dan diploma 26 Oktober

Unisel-GrafikSHAH ALAM 23 OKT : Seramai 2,003 graduan Universiti Selangor (UNISEL) bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Istiadat konvokesyen yang dijalankan dalam empat sidang, pada 26 Oktober ini.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Rosniza Mohamad Rasol, berkata istiadat itu akan disempurnakan Canselornya, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda dan turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Pro-Canselor UNISEL, Datuk Setia Dr Anuar Masduki dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali pada sidang pertama.

Katanya, tujuh graduan akan menerima ijazah kedoktoran falsafah dan profesional, ijazah sarjana (34), ijazah sarjana muda (1,025) dan 937 orang bagi diploma.

“Turut hadir pada istiadat kali ini adalah dari Politeknik Lembaga Pendidikan LP3I, Indonesia, seramai 42 orang terdiri daripada tujuh tenaga pengajar dan 35 pelajar terbaik seluruh republik itu.

“Penerima bagi Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains tahun ini adalah Rektor Institut Teknologi Bandung (ITB) Indonesia, Prof Dr Akhmaloka,” katanya.

Rosniza berkata, pemilihan Prof Dr Akhmaloka berdasarkan sumbangan beliau sebagai sarjana ulung dan keupayaan mengemudi ITB ke puncak kejayaan sehingga tercatat sebagai institusi dihormati.

Katanya, Unisel turut menganjurkan Pesta Konvokesyen UNISEL (FESKONISEL) yang dikendalikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berlangsung pada 24 hingga 27 Oktober ini.

“Pelbagai aktiviti diadakan antaranya jualan pelbagai produk, sukaneka, nasyid, pameran kebudayaan, Forum Hal Ehwal Agama Islam dan Pameran Kejayaan UNISEL,” katanya.

-NFN-


Pengarang :