Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

350 penduduk Sementa terima baucer Jom Shopping

Jom Shopping Deepavali

KLANG 20 OKTOBER : Seramai 350 penduduk di Dun Sementa menerima bantuan baucer Jom Shopping Deepavali, di pasaraya Econsave Persiaran Hamzah Alang, di sini.

Program terbabit dilaksanakan menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut bulan depan yang merupakan kesinambungan program Jom Shopping yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Rata-rata penerima teruja dan gembira dengan pemberian daripada Kerajaan Negeri itu.

Penerima, K.Kanniama, 51, berkata pemberian itu dapat menampung perbelanjaan dapur semasa perayaan.

“Saya ini daripada keluarga yang susah, kesihatan pun tidak begitu memuaskan, jadi saya sangat-sangat berterima kasih,” katanya ketika ditemui.

Bagi P.Alaki, 55, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang berusaha membantu golongan berpendapatan rendah.

“Walaupun dengan jumlah macam sedikit, tapi sekurang-kurangnya kami sekeluarga gembira dengan pemberian ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata pihaknya bercadang untuk meminta baucer lebih daripada Kerajaan Negeri ekoran permintaan yang tinggi.

“Kawasan saya merupakan kawasan India yang ramai dan juga ramai yang berpendapatan rendah. Ramai yang memohon, kami terpaksa memilih sedangkan ramai yang layak.

“Jadi, saya akan panjangkan perkara ini sebelum Deepavali. Mungkin kita boleh gunakan baucer daripada Dun yang tidak habis menggunakan pemberian ini,” katanya.


Pengarang :