Pelbagai

35,000 Rumah Mampu Milik dibina di Selangor menjelang 2018

Kediaman berkembar 1 tingkat yang tersergam indah

SHAH ALAM 23 OKT : Sebanyak 35,000 unit rumah mampu milik (RMM) akan dibina di Selangor menjelang 2018 dalam usaha memastikan golongan rendah dan sederhana berpeluang memiliki rumah yang selesa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pembinaan itu termasuk 5,000 unit RMM yang diselaraskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di bawah Skim Rumah Selangorku dengan geran sebanyak RM100 juta menggunakan wang rezab negeri.

“Rumah ini akan dibina dengan keluasan minimum 800 kaki persegi dan dijual pada harga tidak melebihi RM150,000,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, petang ini.

Abdul Khalid berkata, LPHS juga akan membuat kajian bagi membina 1,700 unit RMM untuk disewa yang akan memberi hasil kepada kerajaan negeri, selain dijual kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“LPHS juga bercadang untuk membangunkan projek perumahan mampu milik menggunakan teknik pre fabrikasi kerana kaedah ini lebih jimat, cepat dan mengurangkan tenaga kerja seperti yang diguna secara meluas di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mengenal pasti satu tapak di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, sebagai projek perintis untuk pembinaan RMM menggunakan teknik pre fabrikasi yang dijangka dimulakan tahun depan.

“Perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan mendesak dan perlu disegerakan terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mana peluang untuk golongan membeli rumah agak terhad dan terbatas,” katanya.

-NFN-


Pengarang :