Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

72 pasukan cilik ‘berentap’ di Karnival Soccerkids

soccerkid MBSA 1

SHAH ALAM, 5 OKTOBER: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berhasrat mengembangkan penganjuran Karnival Soccerkids ke peringkat kebangsaan tahun hadapan berikutan sambutan menggalakkan yang diterima tahun ini.

Hasrat ini dizahirkan oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan yang turut menyatakan padang berhampiran lokasi penganjuran sedia ada akan boleh digunakan tahun hadapan selepas mencapai proses matang.

Menurut beliau, untuk tahun ini pihak MBSA menerima lebih 100 penyertaan namun terpaksa menghadkan kepada 72 pasukan berikutan masalah padang.

“Tahun hadapan mungkin akan dibuat untuk peringkat kebangsaaan. Kita akan ada tiga padang dan boleh buat padang mini untuk menjalankan pertandingan dengan serentak,” katanya yang ditemui selepas merasmikan karnival berkenaan bertempat di Padang B, Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Menurutnya, penganjuran karnival tahunan ini membuka peluang kepada pemain muda menunjukkan bakat dalam usaha melahirkan pemain pelapis bola sepak yang boleh mewakili negara ke peringkat bola sepak antarabangsa.

Selain itu, karnival ini juga dimanfaatkan oleh ibu bapa untuk bersantai bersama keluarga disamping memberikan sokongan kepada anak-anak yang menyertai pertandingan.

Karnival Soccerkids yang berlangsung selama dua hari ini disertai 72 pasukan yang terdiri daripada 40 pasukan untuk kategori 12 tahun dan kebawah manakala 32 pasukan lagi untuk kategori 9 tahun dan kebawah.

Disamping pasukan di sekitar negeri Selangor, terdapat juga penyertaan pasukan dari Kuantan, Pahang yang diwakili oleh dua cucunda Sultan Pahang.

Juara pertandingan untuk kategori 12 tahun dan kebawah membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000, piala serta cenderahati manakala pemenang untuk kategori 9 tahun dan kebawah membawa pulang wang tunai bernilai RM800, piala serta cenderahati selain anugerah khas untuk pemain dan penjaga gol terbaik kejohanan.


Pengarang :