Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan 2014: Defisit negara dijangka bertambah hingga satu peratus

anwar belanjawan PR

SHAH ALAM 22 OKT: Belanjawan 2014 dijangka mencecah sehingga RM270 bilion membabitkan pertambahan kira-kira sembilan peratus berbanding RM260 bilion, berbanding Belanjawan 2013.

Pertambahan itu juga dijangka bakal menyebabkan defisit kewangan negara bertambah kira-kira 0.5 peratus hingga satu peratus.

Pengrusi PKR Terengganu, Azan Ismail, berkata belanjawan yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 25 Okotber ini mencatatkan defisit untuk kali ke-16 berturut-turut.

“Tahun ini jumlahnya adalah RM260 bilion, tetapi bakal ditambah lebih kurang RM10 bilion bagi 2014. Pertambahan ini menyebabkan defisit negara meningkat kira-kira satu peratus atau sekurang-kurangnya 0.5 peratus,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Azan berkata, pendekatan yang digunakan Najib yang juga Menteri Kewangan itu membuktikan kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengawal perbelanjaan secara bertanggungjawab dan berhemah.

“Bagi Pakatan Rakyat (PR), kita tidak akan menjamin belanjawan seimbang tetapi cuba untuk membentangkan belanjawan yang defisitnya tidak terlalu tinggi.

“Jika pertambahan perbelanjaan RM10 bilion hingga RM15 bilion, hasil kita juga harus bertambah bagi mengekang pertambahan difisit lebih tinggi,” katanya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membentangkan ringkasan Belanjawan Alternatif yang berjumlah RM262 bilion, berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM228 bilion dengan nilai defisit sebanyak RM34 bilion, pada 21 Okotber lalu.

Antara faktor penyumbang pengurangan terbabit termasuk emolumen yang direndahkan sebanyak 10 peratus membabitkan perbelanjaan operasi tidak termasuk emolumen dan usaha itu sebahagian langkah jangka panjang bagi mengurangkan bebanan hutang negara bernilai lebih RM500 bilion. -NFN-


Pengarang :