Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Graduan dapat gaji RM4,000 sebulan, harga makanan disemak

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Pakatan Rakyat (PR) bercadang memperkenalkan skim insentif kepada syarikat dalam industri terpilih yang menawarkan program pelatih pengurusan bagi graduan berkelulusan tinggi dengan gaji permulaan sebanyak RM4,000 sebulan.

Usaha itu adalah selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia antara negara berpendapatan tinggi dan meningkatkan pendapatan isi rumah menjelang 2018.

PR turut mencadangkan pengukuhan khidmat nasihat kerjaya di universiti dan institusi pengajian tinggi, program latihan yang berkesan sebagai sebahagian daripada kurikulum yang diwajibkan di semua universiti awaam, selain menjadikan Bahasa Inggeris wajib lulus untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada masa sama, PR akan meletakkan mekanisme bagi memastikan levi yang dikenakan ke atas pekerja asing diturunkan dengan menghapuskan yuran orang tengah yang dibayar majikan.

Kutipan levi pekerja asing itu akan disalurkan kepada program peningkatan kemahiran bagi kumpulan pekerja berpendapatan rendah.

Selain itu, PR turut mencadangkan empat langkah dalam pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat dalam usaha menyemak kenaikan harga makanan di pasaran, di Parlimen, hari ini.

Cadangan yang dibentangkan dalam belanjawan berkenaan membabitkan perkenalan rejim liberal bagi industri beras dan gula, melakukan pelarasan halus sistem kawalan harga untuk semua barang makanan asas, sekatan ke atas penyelewengan dan penyeludupan subsidi bagi bahan pertanian dan diesel nelayan.

PR turut menggariskan usaha meningkatkan kekerapan penguatkuasaan Akta Anti Pertandingan dan Pencatutan serta cadangan baru Akta Anti-Monopoli terutama ketika musim perayaan.

PR juga bercadang untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk pengeluar makanan asas yang terbukti cekap dan menjimatkan kos iaitu sebagai sebahagian dari dasar keselamatan makanan nasional negara.

-NFN-


Pengarang :