Selangorkini
SELANGOR

Belanjawan Pakatan: OKU dan warga emas turut diberi penekanan

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan peruntukan RM500 juta setahun bagi melaksanakan pembangunan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Antara inisatif itu adalah menaikkan elaun sara hidup daripada RM300 kepada RM500 sebulan bagi OKU yang bekerja dengan pendapatan bawah RM1,200 sebulan dan menyediakan peruntukan khas bagi golongan berkenaan yang mengalami kurang upaya tahap kritikal maksimum RM1,000 sebulan.

Bagi melaksanakan perkara itu, PR mensasarkan seramai 400,000 OKU didaftarkan setahun bermula tahun depan supaya keperluan mereka boleh dipenuhi membabitkan bilangan yang mendaftar lebih 80 peratus daripada jumlah golongan itu, dalam tempoh lima tahun.

PR juga akan terus memberi penekanan terhadap usaha mempertingkatkan aksesibiliti OKU kepada kemudahan, ameniti, perkhidmatan dan pengangkutan awam bagi menguatkuasakan Akta OKU 2008 yang berlandaskan konsep hak asasi.

Antara langkah yang bakal diambil adalah dengan menetapkan bilangan tempat letak kereta OKU berdasarkan piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu satu tempat letak kereta OKU kepada 50 tempat letak kereta biasa dengan saiz dan lokasi bersesuaian.

Selain itu, PR juga akan memperbaiki permukaan jalan raya supaya bas tanpa tingkat dapat dimanfaatkan oleh golongan OKU sepenuhnya.

PR menggariskan pengukuhan manfaat bagi warga emas dengan menambah pakar geriatrik terlatih daripada kira-kira 16 orang kepada sekurang-kurangnya 1,000, menjelang 2030.

Usaha itu sebagai persediaan menghadapi proses penuaan penduduk membabitkan aspek kesihatan dan kebajikan yang dijangka akan meningkat sekali ganda daripada tujuh peratus kepada 14 peratus dalam tempoh 28 tahun. -NFN-


Pengarang :