Selangorkini
SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Tugas PGA dikaji, RELA bakal jadi polis

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mencadangkan kajian dan penugasan semula Pasukan Gerakan Am (PGA) dan rizab bukan Polis sepeti RELA perlu beralih daripada tugas kepolisan atau diberi peluang untuk menjadi polis.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat itu turut mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan keupayaan penyiasatan polis dengan memperkasakan Jabatan Siasatan Jenayah membabitkan penambahan 1,000 Pegawai Penyiasat supaya mempunyai nisbah kes sebanyak 1:5.

Kerajaan juga perlu menubuhkan Suruhanjaya Bebas untuk Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang berkesan bagi menghilangkan keraguan rakyat berkenaan tanggungjawab serta komitmen polis terhadap perkhidmatan awam, penubuhan Unit Jenayah Terancang dengan anggota yang mencukupi bagi menangani jenayah dengan lebih berkesan.

PR juga menggesa kerajaan memberikan tumpuan kepada peningkatan sumber manusia, perlindungan dan penyampaian perkhidmatan polis dengan memaksimumkan fungsi teras juga bukan teras tugas mereka.

Pada masa sama, PR mencadangkan supaya cadangan Laporan Suruhanjaya DiRaja bagi penambahbaikan operasi dan pengurusan polis atau Laporan Dzaiddin diberikan perhatian serius.

Anggota polis yang mahir dan beruniform juga perlu dipindahkan daripada kerja pentadbiran kepada tugas polis sebenar, selain melantik orang awam untuk memenuhi fungsi pentadbiran.

Mengikut rekod, polis tidak memerlukan peningkatan 30 peratus tenaga kerja yang dicadangkan Kementerian Dalam Negeri untuk tambahan kira-kira 40,000 pegawai kerana negara mempunyai seorang pegawai polis untuk setiap 270 rakkyat ( 1:270) yang hampir dengan nisbah disyorkan Interpol iaitu 1:250, sejak 2011.

-NFN-


Pengarang :