NASIONAL

BR1M masih belum cukup untuk tampung pengurangan subsidi

BR1M-Anwar

KUALA LUMPUR 28 OKT : Pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) masih tidak mencukupi untuk mengimbangi pengurangan subsidi seperti yang dibentangkan Kerajaan Pusat, pada 25 Oktober lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dengan potongan subsidi RM7.29 bilion, ia jauh melebihi kenaikan bayaran BR1M untuk 2014.

Katanya, secara kesimpulannya perbezaan sebanyak RM5.6 bilion yang dikutip kerajaan masih kekal dibiayai penerima BR1M kerana pengurangan subsidi, walaupun jumlah bantuan itu ditambah.

“Jumlah penerima BR1M yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan adalah 4.8 juta isi rumah, manakala angka Jabatan Perangkaan Negara adalah pada 2.56 juta isi rumah.

“Sekiranya jumlah sebenar isi rumah yang layak adalah benar lebih rendah, adakah ini satu lagi bentuk kebocoran yang bakal direstui Barisan Nasional (BN),” soalnya dalam sesi perbahasan, di Parlimen, di sini hari ini.

Sejumlah RM7.29 bilion subsidi dikurangkan untuk 2014 menjadikan jumlah sebenar RM39,408 bilion berbanding 2013 iaitu RM46.698 bilion dan penambahan bayaran BR1M dianggarkan bertambah RM1.7 bilion.

Anwar turut mempersoal tindakan kerajaan pusat yang masih belum menunaikan janji berhubung pemberian BR1M pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

“Kerajaan menjanjikan kenaikan BR1M untuk setiap isi rumah daripada RM500 kepada RM1200, tetapi hingga kini hanya RM650 diberi. Begitu juga dengan bantuan BR1M kepada warga bujang yang dijanjikan bakal diberi kenaikan daripada RM250 kepada¬†RM600 dan setakat ini hanya RM300 diberi, inilah Barisan Nasional (BN) ‘janji ditepati’,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan perbahasan belanjawan 2014 yang dibahasnya hari ini sebagai ‘bercakap dengan orang pekak’ kerana tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan.

“Bila beliau (Najib) bentang belanjawan, saya hadir, saya dengar walaupun telinga ini sakit, tetapi bila sesi perbahasan belanjawan, beliau tidak hadir. Menteri Kewangan tiada, serupa saya bercakap dengan orang pekak dan inilah demokrasi yang diamalkan BN,” katanya.

-NFN-


Pengarang :