NASIONAL

FOMCA : GST 6 % tinggi, jejas golongan berpendapatan rendah dan sederhana

fomca-GST

SHAH ALAM 29 OKT : Pelaksanaan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus adalah terlalu tinggi dan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana bagi mendapatkan barangan keperluan ekoran kenaikan harga.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan perlu melaksanakan GST pada kadar yang rendah supaya tidak memberikan kesan yang besar kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kita tidak menjangka kerajaan akan mengenakan pada kadar enam peratus kerana kadar pengenalan GST yang sesuai pada peringkat awal ini adalah antara tiga hingga empat peratus.

“Sewajarnya kerajaan mengenakan GST pada paras yang rendah supaya tidak membebankan rakyat pada pengenalan pertama, bermula 1 April 2015,” katanya ketika dihubungi di TV Selangor di sini, hari ini.

Yusof berkata, GST adalah cukai kepenggunaan bermaksud semua pengguna yang menggunakan barangan itu akan mendapat kesannya.

“Berdasarkan kajian, golongan yang berpendapatan rendah ini membelanjakan sebahagian besar wang pendapatan mereka untuk mendapatkan keperluan asas, berbanding golongan berpendapatan tinggi.

“Semakin banyak barangan keperluan yang dibelanjakan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, maka kesan yang perlu dihadapi mereka akan meningkatg,” kata beliau.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pelaksanaan GST menjadi punca kepada kenaikan inflasi, jika isu berkenaan terus dipandang ringan kerajaan pusat, selain turut menjadi tambahan beban kepada rakyat  Sabah dan Sarawak disebabkan rakyat di negeri itu mempunyai berpendapatan jauh lebih rendah daripada Semenanjung.

-NFN-


Pengarang :