NASIONAL SELANGOR

FOMCA: Guna MyKad bantu percepat urusan

mykad barang runcitSHAH ALAM 25 OKT : Penggunaan MyKad menggantikan amalan menggunakan sistem wang tunai terus ke dalam akaun bagi penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat memudahkan dan mempercepatkan urusan penyaluran bantuan dengan berkesan.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kemudahan terminal bagi membuat pengesahan MyKad individu perlu diwujudkan bagi mengelak sebarang penipuan.

Katanya, penggunaan MyKad itu boleh dilaksanakan di seluruh negara dan cara itu juga pernah digunakan Yayasan MyKasih yang membolehkan golongan miskin membeli keperluan asas dengan menaip nombor PIN unik ke dalam pembaca kad di kaunter pembayaran.

“Kena ada satu sistem yang boleh mengesahkan individu yang layak ketika mereka menunjukkan MyKad bagi membeli barangan yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, semalam.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mencadangkan Mykad digunakan dalam bantuan JKM yang perlu diganti dengan satu sistem pembayaran tunai membolehkan penerima yang layak memilih barangan mengikut apa yang mereka perlukan tanpa menggunakan wang tunai.

MyKad diguna untuk mengesan perbelanjaan yang dibuat penerima dan boleh digabung dengan program kementerian lain seperti memastikan anak ke sekolah serta kelas tambahan untuk ibu tunggal.

-NFN-


Pengarang :