NASIONAL

FOMCA : Punca kesihatan tidak munasabah jadi alasan naik harga gula

fomca-GST(gula1)

SHAH ALAM 30 OKT :  Tindakan perajaan pusat menaikkan harga gula sebanyak RM0.34 sen atas alasan mengekang masalah diabeties di kalangan rakyat Malaysia adalah alasan remeh dan tidak munasabah.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata alasan kesihatan untuk menaikkan harga gula tidak tepat kerana diabeties berpunca daripada gaya hidup individu.

Katanya, kempen kesedaran penjagaan kesihatan perlu diperbanyak dan diperhebatkan bukan dengan tindakan menaikkan harga barangan keperluan itu, jika kerajaan pusat ingin menjaga kesihatan rakyat.

“Kita bimbang alasan sama akan diguna kerajaan untuk menaikkan harga barangan lain seperti tepung dan beras yang menyebabkan peningkatan kalori dalam makanan. Kerajaan mungkin menggunakan alasan peningkatan bagi menaikkan harga tepung,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Yusof berkata, kenaikan harga itu juga terlalu mendadak dan bakal memberikan kesan besar terhadap harga makanan dan minuman berasaskan penggunaan gula.

“Ia tidak sewajarnya dilakukan secara drastik dan mendadak kerana penyelarasan harga gula itu sewajarnya dibuat secara berperingkat supaya tidak memberi kesan besar kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan pusat memaklumkan rakyat jika berhasrat menaikkan harga minyak masak berikutan penarikan subsidi barangan itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak dan memilih mengumumkan secara terbuka pemotongan subsidi gula, dalam sesi perbahasan Belanjawan Negara 2014, di Dewan Rakyat, semalam.

Anwar turut mempersoalkan tindakan berkenaan ketika pengeluaran minyak sawit sedang melonjak dan rakyat masih dikejutkan dengan kenaikan harga gula.

-NFN-


Pengarang :