Selangorkini
Pelbagai

Impi urus Lynas, gagal selia empangan

tnb chang lih kangSHAH ALAM 24 OKT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan kegagalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan sistem amaran awal yang secukupnya sebelum membuka pintu empangan hingga mengakibatkan kejadian banjir kilat di Cameron Highland, awal pagi semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Chang Lih Kang, berkata beberapa penduduk memaklumkan siren amaran yang dibunyikan TNB tidak berapa jelas kedengaran disebabkan bunyi hujan, pada awal pagi semalam.

Katanya, tambah memburukkan siren itu hanya dibunyikan kira-kira 10 hingga 15 minit sebelum pintu empangan hidroeletrik Sultan Abu Bakar dibuka menyebabkan ramai penduduk tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri.

“Penduduk yang saya temui menyalahkan TNB kerana tidak memberi notis, manakala siren yang dibunyikan pula terlalu singkat hingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri.

“Ada juga yang memberitahu saya, mereka tidak dengar siren yang dibunyikan pada awal pagi itu kerana hujan lebat malam tadi (kelmarin). Kerajaan harus serius dalam hal ini, jika empangan tidak boleh diurus, bagaimana isu seperti Lynas ingin diselia,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes banjir kilat di Cameron Highland apabila TNB membuka pintu empangan hidroeletrik berkenaan hingga menyebabkan kira-kira 80 rumah di pinggir Sungai Bertam dilanda arus deras, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Lih Kang mendakwa sekurang-kurangnya tiga maut, manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui.

Lih Kang yang melawat ke tempat kejadian pagi semalam, turut menuntut supaya satu jawatankuasa siasatan bebas ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian, sekali gus memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Ini kejadian yang sangat menyedihkan, PKR akan bertemu penduduk untuk melihat apa bantuan yang boleh kita salurkan kepada keluarga terjejas. Saya menganggarkan kerugian tinggi terpaksa ditanggung keluarga terbabit berdasarkan kemusnahan harta benda,” katanya.

-NFN-


Pengarang :