NASIONAL

Boleh guna kalimah Allah tapi jangan salah guna – Hadi Awang

 

hadi awang bicara sinar 04

SHAH ALAM, 12 OKT :Menuju keputusan kes Kalimah Allah yang kini dibicarakan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Oktober nanti, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam.

Bercakap kepada media seusai menyampaikan ucaptama di Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia, Abdul Hadi berkata banyak hujah kukuh dari sudut agama, bahasa dan sejarah yang membolehkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

“Kita tidak boleh menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, malah baginda Rasullah membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada orang bukan Islam dalam satu perjanjian,”(Piagam Madinah) tegas Hadi, dan menambah bagaimanapun kalimah ‘Allah’ tidak wajar disalahgunakan oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan konflik.

Mahkamah Rayuan akan memutuskan pada 14 Oktober ini sama ada penerbitan mingguan Kristian Katolik, The Herald, dibenar menggunakan kalimah ?Allah?.

Pada 10 September lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah pihak berkenaan dalam kes itu.

Panel itu akan memutuskan rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah ?Allah?.

Sebelum ini, pada Januari 2010, Abdul Hadi telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Menerusi buku bertajuk: ‘Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah’, yang diterbitkan pada Januari 2010, Abdul Hadi menterjemahkan bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah “Allah” dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

“Kalimah ‘Allah’ adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa arab (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat,” jelas beliau dalam bukunya itu.

Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia berlangsung di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) dekat sini, hari ini.

Bertemakan ’56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia’, seminar anjuran Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Permuafakatan dan Instiusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis) dan Universiti Selangor (Unisel) itu membuka ruang mencari penyelesaian kearah pelaksanaan syariah dalam konteks negara demokrasi.

Hadir sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Exco Selangor Dr Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi.


Pengarang :