Selangorkini
NASIONAL

Jawatankuasa Pilihan mampu atasi pembaziran Kementerian Pertahanan

kamarudin

KUALA LUMPUR 21 OKT : Pakatan Rakyat (PR) mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan bagi meneliti segala urusan berkenaan pertahanan negara.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata jawatankuasa itu akan dianggotai semua pihak di Dewan Rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang bagi meneliti perbelanjaan yang dikeluarkan dan bakal digunakan berkenaan hal ehwal pertahanan.

Katanya, cadangan pembentukan jawatankuasa itu disebabkan Kementerian Pertahanan melakukan perbelanjaan dan pembaziran melampau dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dibentangkan, baru-baru ini.

“Banyak isu berlaku akhir-akhir ini, khususnya berkenaan pembaziran dan penyelewengan di Kementerian Pertahanan.

“Semua ini dapat dilihat dalam kes perbelanjaan kementerian itu membabitkan pembelian senjata, kapal selam dan kehilangan enjit jet pejuang,” katanya pada sidang media pembentangan Belanjawan Alternatif 2014, di Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Kamarudin berkata, PR turut mencadangkan supaya Skim Insurans Petani Nelayan dan Penternak (SIPNP) diwujudkan membabitkan peruntukan RM30 juta untuk memberi perlindungan komprehensif kepada golongan luar bandar yang mempunyai pelbagai masalah, selain kejadian luar jangkaan.

Katanya, skim berkenaan meliputi pembiayaan antara kerajaan dengan nelayan dan petani yang dianggarkan mampu memberi manfaat kepada lebih 700,000 orang.

“PR juga mencadangkan supaya Orang Kelainan Upaya (OKU) berpendapatan bawah RM1,200 sebulan dibantu melalui satu program khas bagi mengurangkan beban yang dihadapi mereka,” katanya. -NFN-


Pengarang :