Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

K-Pop: Jawatankuasa perlu ambil tanggungjawab bersama

Tony Pua Wancara 01

KUALA LUMPUR 22 OKT : Isu perbelanjaan RM1.6 juta bagi membayar artis K-Pop tidak harus ditanggung bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kerana keputusan itu dibuat secara bersama membabitkan penubuhan jawatankuasa.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata pihak bertanggungjawab tidak boleh mengelak daripada kesalahan mereka dengan mengalihkan tanggungjawab kepada keputusan jawatankuasa.

Beliau berkata, jika benar keputusan berkenaan diputuskan secara jawatankuasa tanpa sebarang pimpinan daripada sesiapa, tindakan perlu diambil ke atas semua ahli yang mengambil bahagian dalam jawatankuasa terbabit.

“Jawapan kementerian menunjukkan pihak jawatankuasa yang membuat keputusan untuk menjalankan konsert terbabit pada Hari Belia walaupun tiada sebarang komitmen kukuh diberikan pihak penaja.

“Ini adalah satu keputusan tidak bertanggungjawab dan tindakan disiplin atau surcaj perlu diambil,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, kerajaan akan terus dipersalahkan dan tidak serius dalam menangani isu terbabit jika pihak swasta yang kononnya berjanji untuk menaja program itu tidak dihukum.

Katanya, maslaah sama akan terus berlaku membabitkan kementerian yang menyebabkan peruntukan bajet setiap tahun tidak dipatuhi dan memerlukan belanjawan tambahan untuk membiayai perbelanjaan melampau.

Beliau berkata, kementerian bertanggungjawab juga perlu mendesak supaya kos dikembalikan kepada kerajaan memandangkan syarikat yang terbabit untuk menaja konsert memberikan komitmen kukuh, sebelum acara berlangsung.

“Jika syarikat swasta itu enggan menerima keputusan ini, kerajaan perlu ambil tindakan mahkamah ke atas mereka kerana janji mulut juga boleh dikuatkuasakan.Kementerian akan dilihat sengaja mencipta alasan untuk mengelakkan kesalahan, jika tindakan tidak diambil kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Pua yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyokong tindakan Shabery untuk memberi penjelasan secara siaran langsung dan mencadangkan supaya Peraturan Mesyuarat Parlimen Perkara 85 diubahsuai supaya hasrat Shabery itu dapat direalisasikan. -NFN-


Pengarang :