Selangorkini
SELANGOR

Kekalahan Mukhriz bukti ahli Umno tolak Tun Dr Mahathir

mukhriz umnoSHAH ALAM 22 OKT : Kekalahan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir, merebut jawatan Naib Presiden Umno disifatkan bukti jelas penolakan ahli parti itu terhadap pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata kegagalan Mukhriz memenangi jawatan di peringkat tertinggi Umno itu memberi isyarat bahawa wujud di kalangan ahli parti tidak senang dengan pengaruh bapanya.

Katanya, kredibiliti Mukhriz masih diragui ahli Umno kerana beliau tidak merasai ujian seperti yang dihadapi Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang pernah cuba diusir Mahathir ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.

“Kita lihat majoriti ahli Umno menolak Mukhriz dan secara tidak langsung menolak Tun Mahathir. Hal ini memperlihatkan pengaruh Tun Mahathir sudah tidak mendapat tempat di kalangan ahli walaupun jasa beliau cukup besar untuk Umno.

“Mukhriz masih belum teruji dengan sebarang bentuk situasi dan membuktikan beliau masih diragui oleh ahli Umno. Selain itu, kita nampak kekuatan Tun Mahathir sebelum ini tidak lagi mampu memberi keyakinan kepada ahli untuk memilih anaknya memegang jawatan di peringkat tertinggi parti,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Pada pemilihan tertinggi Umno baru-baru ini, ahli Umno sebulat suara mengekalkan penyandang  jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Sementara itu, Fariz berpandangan pertembungan ‘battle of proxy’ di antara dua pemimpin muda Umno itu akan berterusan untuk tempoh yang panjang kerana sudah pasti Mukhriz tidak mahu ketinggalan bersaing dengan Menteri Belia dan Sukan itu.

Katanya, pertembungan antara dua pemimpin muda itu akan menyebabkan perpecahan yang berlaku dalam Umno menjadi semakin besar dan parah.

“Pertembungan ini akan terus berlaku dan akan menjadi bibit perpecahan di dalam Umno. Tidak ada tokoh hebat yang mampu membawa parti itu ke arah yang lebih baik daripada senarai pimpinan yang dipilih dalam keseluruhan pemilihan Umno kali ini,” katanya lagi.

-NFN-


Pengarang :