Selangorkini
Pelbagai

Kerajaan Pusat abai BERSIH 3.0 dalam laporan PBB

polis bersihSHAH ALAM, 19 OKT : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) kecewa terhadap Kerajaan Pusat menafikan serangan ke atas orang ramai dan petugas media semasa perhimpunan itu dalam laporan hak asasinya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baru-baru ini.

Ahli jawatankuasa pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah berkata, Kerajaan Pusat seharusnya berani mengaku salah dan bertanggungjawab terhadap keganasan yang berlaku ke atas orang awam selain berusaha memperbaiki hak asasi manusia.

Beliau turut menyifatkan pembentangan laporan dari pihak Kerajaan Pusat itu sebagai sesuatu yang ‘ringkas’ dan kosong kerana ia tidak menyentuh isu hak asasi manusia secara menyeluruh.

“Kita merasa kecewa kerana memang berlaku keganasan semasa perhimpunan itu apabila polis bertindak memukul wartawan dan orang ramai yang berhimpun secara aman.

“Kalau hendak hantar laporan, Kerajaan mesti ambil tanggungjawab dan mengaku sekiranya membuat kesalahan. Kami kecewa kerana Kerajaan janji pelbagai perkara tetapi gagal menunaikannya,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Maria berkata, beliau kesal kerana Kerajaan tidak menyebut hasil inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap keganasan yang berlaku semasa perhimpunan Bersih dalam laporannya.

Katanya, Kerajaan tidak pernah mengendahkan sebarang cadangan mahupun saranan daripada Suhakam berhubung perkara ini dan menganggapnya sebagai sesuatu yang negatif.

“Kerajaan sepatutnya perlu meneliti laporan Suhakam dan cuba memperbaiki kelemahan yang diutarakan tentang hak asasi manusia kerana badan bebas ini ditubuhkan di Parlimen,” katanya lagi.

Dalam laporan 21 muka surat yang dikemukakan kepada PBB pada Julai, menjelang Semakan Berkala Sejagat (UPR) mengenai Malaysia Sabtu ini di Geneva, Kerajaan didapati hanya mengemukakan imej yang bersih mengenai isu-isu hak asasi manusia.

Walaupun menyebut inkuiri Suhakam terhadap keganasan semasa Bersih, namun Kerajaan didapati tidak menyentuh mengenai hasil inkuiri itu dan juga latar belakang di sebaliknya.

Malaysia dijadualkan akan berdepan dengan negara-negara seangkatannya di hadapan Majlis Hak Asasi Manusia PBB (HRC) pada 24 Oktober depan dalam satu semakan yang dilakukan sekali bagi setiap empat dan setengah tahun.


Pengarang :