Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Kereta Biasa Jadi ‘Mewah’ Kerana Cukai

Turun-Harga-Kereta

SHAH ALAM, 7 OKTOBER: Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan, bersetuju bahawa Malaysia merupakan antara negara yang menawarkan harga kereta yang mahal kepada rakyat disebabkan cukai kenderaan yang tinggi.

Kenyataan ini disokong dengan paparan sebuah portal popular, Jalopnik, menyenaraikan Malaysia sebagai negara kedua paling mahal untuk membeli kereta, di belakang Singapura dalam artikel bertajuk 10 Tempat Paling Mahal Untuk Beli Kereta.

Berdasarkan pengalaman tinggal di United Kingdom (UK) hampir 18 tahun, Wan Saiful menyatakan kerajaan sepatutnya menyemak semula cukai kenderaan sedia ada yang dilihat tinggi memandangkan kereta merupakan keperluan kehidupan rakyat di negara ini.

“Saya sendiri mempunyai pengalaman mengenai kereta ini. saya pernah tinggal di UK lebih kurang 18 tahun. Dan saya boleh beritahu jika disana kerja biasa-biasa sahaja sudah mampu membeli contohnya Volkswagen Passat.

“Tetapi disini Passat menjadi kereta mewah. Jadi saya rasa memang betul perbezaan harga memang tinggi disebabkan cukai yang dikenakan oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Menurut beliau, meskipun Malaysia mempunyai pengeluar kereta nasional terbesar sendiri seperti Proton dan Perodua, mereka turut berhadapan cukai kenderaan seperti syarikat pengeluar kenderaan lain walaupun kereta nasional sepatutnya dijual pada harga yang lebih rendah daripada sekarang.

Justeru, cukai kenderaan sedia ada ini perlu dihapuskan agar pengguna dapat menikmati kenderaan pada kadar harga yang rendah.

“Cukai yang dikenakan terhadap Perodua dan Proton tidak banyak beza dengan kereta lain cuma disebabkan kosnya lebih rendah.

“Kereta seperti Proton Preve misalnya boleh dijual pada harga RM65,000 ke RM70,000. Jadi dia bersaing dengan kereta lain yang sama kelas dengannya.

“Bukan isu kita ada kereta nasional. Isu sebenar adalah cukai yang dikenakan yang mana kereta nasional juga kena cukai yang sama.

“Sekiranya cukai itu tidak ada atau lebih rendah saya rasa kereta nasional ini jauh lebih rendah pada masa sekarang,” katanya.


Pengarang :