Selangorkini
SELANGOR

KUIS bakal tubuh Pusat Latihan dan Penyelidikan Perbankan Islam Januari 2014

kuiss

BANGI 24 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) akan menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bersama Islamic Develop Bank (IDB) Jeddah bagi menubuhkan pusat latihan dan penyelidikan perbankan Islam, selewat-lewatnya Januari 2014.

Cadangan penubuhan itu bertujuan memperkembangkan lagi pengetahuan terhadap sistem perbankan Islam yang semakin mendapat tempat dalam pasaran.

Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri, berkata program itu akan dikendalikan oleh Fakulti Muamalat, selain jalinan kerjasama di antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain.

“Lembaga Pengarah bersetuju untuk kita mengadakan MOU bersama Islamic Develop Bank (IDB) di Jeddah. Atas persetujuan itu, kami akan menubuhkan satu pusat latihan dan penyelidikan perbankan Islam.

“Penebuhan itu, akan diketuai Dekan Fakulti Muamalat dan mesyuarat pertama akan diadakan dalam masa terdekat, yang mana perjanjian ini akan ditandatangani, selewat-lewatnya Januari 2014,” katanya pada sidang media Majlis KUIS bersama Media, di sini, semalam.

Katanya, fokus latihan diberikan kepada kepada pegawai yang tidak mempunyai latar belakang perbankan Islam tapi bekerja di dalam sektor berkenaan dan untuk orang bukan Islam.

“Cadangan itu dilihat mampu dikembangkan ke peringkat antarabangsa memandangkan perbankan Islam baru menguasai 20 peratus pasaran. Modul pengajaran ini akan dibuat dalam bentuk sarjana dan sijil latihan, namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :