NASIONAL

Laksana GST hanya tambah beban rakyat

gst

KUALA LUMPUR 25 OKT : Kerajaan Pusat hanya menambah beban rakyat di negara ini disebalik alasan untuk meningkatkan pendapatan negara dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu berkata, pelaksanaan GST akan meningkatkan jurang pendapatan rakyat rendah dan tinggi semakin meningkat dan akhirnya merugikan negara.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak seharusnya mengumumkan langkah lebih efisyen untuk membendung ketirisan wang rakyat dan rasuah pada Belanjawan Negara 2014  yang sememangnya merugikan rakyat.

“Kalau kita benarkan GST benar-benar dilaksanakan, kita membenarkan wang kita diserahkan kepada penyamun dan perompak.

“Tak payah samun, tak payah rompak, tapi kita sendiri yang serahkan, oleh itu saya dan pemimpin Pakatan lain akan terus berusaha melawan isu ini demi membela rakyat di negara ini,” katanya dalam himpunan bantahan GST di hadapan Parlimen hari ini.

Seramai 200 orang terdiri daripada ahli PAS dan pemimpin NGO berhimpun di hadapan pintu masuk Parlimen ketika sidang pembentangan Belanjawan Negara 2014 sedang berlangsung hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nasarudin Hasan Tantawi berkata himpunan ini diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap Kerajaan Pusat yang melaksanakan cukai berkenaan.

“Saya yakin jurang kemiskinan diantara orang kaya dan orang miskin semakin lebar, seterusnya ia akan melonjakkan kadar inflasi negara, akhirnya rakyat tetap menjadi mangsa,” ujarnya.

Beliau turut sependapat dengan Mahfuz yang menyatakan Kerajaan Pusat seharusnya mengumumkan kaedah yang lebih baik bagi mengawal ketirisan wang rakyat berbanding pengumuman pelaksanaan GST.

Dalam pembentangan Bajet 2014, Najib Razak mengumumkan Kerajaan akan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015.


Pengarang :