Selangorkini
NASIONAL

Laporan audit dedah JKM beri bantuan kepada orang mati

Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR 2 OKT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang membuat pembayaran Bantuan Am kepada penerima yang meninggal dunia, dedah Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Mengikut laporan itu, Bantuan Am ialah pemberian wang bagi membantu individu yang tidak berkemampuan dan memerlukan.

?Pada keseluruhannya pengauditan setakat Julai 2012 mendapati pengurusan Bantuan Am kurang memuaskan kerana terdapat beberapa kelemahan.

?Antaranya, pembayaran dibuat kepada penerima yang meninggal dunia, bantuan dikeluarkan daripada akaun penerima yang meninggal dunia dan agihan bantuan kepada penerima yang telah ditamatkan,? laporan itu dipetik.

Mulai Januari 2010, kadar baru Bantuan Am oleh Kerajaan Pulau Pinang ialah antara RM100 hingga RM350 sebulan bagi setiap penerima yang layak.

Memetik Keadilan Daily, beberapa kelemahan lain turut dikesan dalam pengauditan yang dijalankan setakat bulan Julai 2012 itu.

Kerajaan Persekutuan memperuntuk 33.3 peratus atas kadar semasa sebagai tambahan kepada bantuan sedia ada.

Antara 2010 sehingga Julai 2012, jumlah penerima bantuan yang aktif di Pulau Pinang ialah 2,866 orang.

Bagi tempoh itu, JKM Pulau Pinang menerima RM12.23 juta peruntukan dan sehingga Julai 2012 sejumlah RM10.55 juta (86.2 peratus) dibelanja.

Ketua Audit Negara menyarankan jabatan itu supaya mendapatkan kerjasama polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang dan Bank Simpanan Nasional berhubung penyelarasan maklumat terkini.


Pengarang :