Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Laporan audit: Kerajaan BN hanya beri surat teguran tanpa tindakan

audit 2012

SHAH ALAM 10 OKT: Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan menyeluruh berikutan ketirisan dalam Laporan Audit Negara 2012 bagi mengelakkan ‘terlepas pandang’.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga tidak menolak pembabitan ramai pihak terlibat dalam isu itu dan mahu Kerajaan Pusat tidak bertoleransi terhadap pesalah.

“Rakyat tidak boleh terima jika setiap tahun kecewa dengan Laporan Audit, dapat tahu ada pelbagai skandal.

“Mengapa berlaku setiap tahun, kata bekerja keras tapi masih berlaku. Soalan ini ada dalam fikiran ramai.

“Jawapan hanya sama. Saya pernah lima tahun berada dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), rumusannya mereka tiada azam untuk atasi masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar bertajuk Laporan Audit: Tiris atau Terlepas pandang yang turut disertai Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohammed.

Setakat ini, Tony berkata, kerajaan tidak pernah mengambil tindakan tegas untuk mengatasi masalah ketirisan, lebih-lebih lagi dalam jabatan kerajaan.

“Bila ditanya mengenai tindakan, 95 peratus jawapan hanya beri surat teguran.
Kalau tiada tindakan sampai bila-bila mereka tetap cuai. Kalau tidak ambil tindakan, mungkin juga ketua jabatan terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan menyeluruh agar pesalah dihukum dan dijadikan contoh kepada pihak lain.


Pengarang :