SELANGOR

Mahkamah tolak saman pemilik tanah terhadap MB Selangor

mahkamah

SHAH ALAM 22 OKT : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman difailkan dua pemilik tanah terhadap Kerajaan Negeri, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan lima lagi berhubung dakwaan pengambilalihan tanah di Ijok.

Memetik laporan Bernama, Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop membuat keputusan itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan Abdul Khalid untuk membatalkan saman berkenaan.

Beliau membuat keputusan dengan kehadiran peguam B Thangaraj mewakili dua plaintif iaitu LBCN Development Sdn Bhd dan Mujur Zaman Sdn Bhd serta Penasihat Undang-undang Negeri, Ahmad Fuad Othman mewakili Abdul Khalid juga enam lagi defendan.

Dua pemilik tanah terbabit memfailkan saman itu dengan menamakan Abdul Khalid, Kerajaan Negeri, pengarah Tanah dan Galian negeri, pendaftar hak milik tanah negeri, pentadbir tanah Kuala Selangor dan Perbadanan Menteri Besar sebagai defendan, pada 21 Februari lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan sedar hartanah terbabit diberi hak milik kepada mereka bagi melaksanakan projek bersepadu Revolusi Hijau Bukit Cerakah dan projek pembangunan perniagaan lain.

Mereka memohon perisytiharan bahawa keputusan defendan untuk menuntut tanah itu pada 2011 dan 2012 adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak mempunyai kesan perundangan. -NFN-

 


Pengarang :