Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Majlis Peguam : Zahid Hamidi tidak hormati undang-undang

ZAHID HAMIDI
SHAH ALAM 9 OKT : Majlis Peguam mengecam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau menunjukkan sikapnya tidak menghormati undang-undang dan hak asasi manusia.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, berkata tindakan Zahid itu sebagai mengaibkan negara dan kerajaan ekoran pendedahan rakaman ucapan Menteri Dalam Negeri itu di Melaka oleh media baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid semasa dalam satu Majlis Taklimat Keselamatan Bersama Pemimpin Masyarakat di Melaka bercakap mengenai beberapa isu sensitif antaranya melibatkan isu penjenayah masyarakat India serta mempertahankan kumpulan haram Melayu yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah.

Majlis Peguam menegaskan tiga pengakuannya dalam ucapan tersebut adalah satu kesalahan serta tidak menghormati lunas undang-undang negara.

Ia berkaitan mengenai arahan menembak tanpa beri amaran, mengakui pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dibuat mengikut arahannya dan juga tahanan tanpa bicara selama dua tahun.

“Kenyataan beliau memalukan dan menyebabkan negara dan kerajaan diaibkan,” kata Leong dalam satu kenyataan.

Menurut Leong, tindakan Ahmad Zahid tersebut adalah suatu kesalahan berat dan boleh didakwa mengikut Akta Hasutan.

“Menteri Dalam Negeri nampaknya melampaui batas dan kemungkinan telah melakukan kesalahan dibawah Akta Hasutan,” ujarnya lagi.


Pengarang :