Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

MB: Tindakan terhadap pegawai kerajaan negeri jika bersalah kes seksual

Kes Seksual

SHAH ALAM 23 OKT: Tindakan tegas akan diambil terhadap ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang berdepan dakwaan seksual termasuk diarah melepaskan jawatan jika polis mendapati individu itu bersalah.

Dipetik Malaysia Kini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri sedang memantau kes seksual itu dan kerajaan Selangor tidak campur tangan dalam siasatan polis.

“Kita mesti bersikap adil. Jika ia adalah satu laporan jenayah, maka polis, perlu bertindak mengenai dalam perkara itu kerana kerajaan tidak mempunyai kapasiti untuk menyatakan ia satu kesalahan.

“Kami sedang memantau situasi ini. Kami mahu mengenal pasti hak individu bagi mempertahankan kedudukan mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Shah Alam petang ini.

Khalid juga mengarahkan Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim untuk mengambil tindakan bersesuaian jika individu itu didapati bersalah atas tuduhan.

“Ini kerana kita perlu memberi hak yang adil kepada ahli majlis. Sekiranya (kejadian seperti didakwa benar-benar berlaku), maka kerajaan negeri akan mengarahkan beliau melepaskan jawatannya,” katanya.

Kata Khalid, ahli majlis itu buat masa ini masih menghadiri majlis rasmi kerana belum terbukti bersalah dan kes berkenaan masih dalam siasatan.


Pengarang :