Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

MBPJ tambah CCTV bagi pertingkat keselamatan

cctv mbpj

PETALING JAYA, 31 OKT : Majlis Bandaraya Petaling (MBPJ) mengambil langkah proaktif dengan menambah lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di laluan pejalan kaki di sekitar stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Kelana Jaya berhampiran Taman Mayang, di sini.

Tindakan itu dilakukan susulan kematian seorang pelajar, Dickson Wong dari Sarawak yang diragut berhampiran stesen LRT berkenaan kira-kira dua hari lepas.

Unit Perhubungan Awam MBPJ dalam satu kenyataan berkata, usaha menambah CCTV di kawasan itu sudah mendapat kelulusan Datuk Bandar, Datin Paduka Alinah Ahmad dan akan dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Pihak Majlis juga akan mensyaratkan kepada premis kormesial dalam pembaharuan lesen supaya mengadakan dan memasang CCTV di premis masing-masing untuk membantu mengawal keselamatan bersama,” kata kenyataan media itu.

Selain pemasangan CCTV, pihak Majlis juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat rondaan di sekitar kawasan itu.

Terdahulu, Dickson yang koma selepas diserang peragut di Taman Mayang ditemui terbaring dan berlumuran darah berhampiran stesen LRT itu.

-EZY


Pengarang :