Selangorkini
SELANGOR

MBSA perkasakan jabatan untuk kesejahteraan warga Shah Alam

Datuk Mohd Jaafar Mohd AtanSHAH ALAM 2 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memperkasakan fungsi beberapa jabatannya bagi memberi perkhidmatan lebih berkualiti ke arah kesejahteraan warga bandar raya Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, ia adalah dasar Belanjawan 2014 MBSA yang mempunyai enam teras iaitu kehidupan sejahtera dan kondusif, perkhidmatan terbaik, peka terhadap aduan masyarakat, masyarakat dan ‘stakeholders’ sebagai pelanggan, sistem penyampaian yang cekap dan rondaan keselamatan.

Beliau berkata, untuk Belanjawan 2014 MBSA mensasarkan pulangan hasil melebihi RM350.6 juta menerusi hasil cukai dan bukan cukai bagi meneruskan pembangunan di kawasan selaiannya.

“Belanjawan kita pada 2014 adalah belanjawan berimbang dan dijangka kita akan mendapat hasil kira-kira RM350,640,430 maka kita akan berbelanja sebanyak yang kita dapat.

“Kita menyahut hasrat Kerajaan Negeri supaya belanjawan ini diberikan balik kepada pembangunan insan dan masyarakat bagi warga MBSA serta pembayar cukai dan pelabur. Antara tindakan adalah kita akan memperkasakan beberapa jabatan di MBSA,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2014 MBSA di sini hari ini.

Mohd Jaafar berkata, jabatan terbabit adalah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Taman dan Rekreasi dan Jabatan Hasil dan Pelaburan dengan penubuhan beberapa unit baru.

Beliau berkata, antara unit ditubuhkan ialah Unit Polis Bantuan di bawah Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Unit Pengurusan Dewan-Dewan Serbaguna (Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti), Unit Integriti (Jabatan Khidmat Pengurusan), Unit Penyelenggaraan (Jabatan Kejuruteraan), Unit Pangkasan Pokok (Jabatan Taman dan Rekreasi) dan Unit Pengurusan Tempat Letak Kereta (Jabatan Hasil dan Pelaburan).

“Salah yang paling penting untuk menjaga disiplin Ahli Majlis, pegawai dan kakitangan MBSA, kita akan tubuhkan satu Unit Integriti iaitu ketuanya akan dipinjamkan dari SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyemak supaya tidak ada salah laku. Kita akan tubuhkan bila diluluskan Kerajaan Negeri.

“Dalam belanjawan tadi untuk penubuhan Unit Polis Bantuan dengan 100 anggota, MBSA melalui Kerajaan Negeri akan memohon kepada Ketua Polis Negara dan kita berharap akan diluluskan,” katanya.

Mohd Jaafar berkata, MBSA akan membaiki dan menambahbaik beberapa dewan orang ramai di sekitar Shah Alam dengan kos RM3.5 juta.

Beliau berkata, projek laluan basikal juga diteruskan selain beberapa kemudahan seperti taman cergas dan taman awam.

“Kita juga akan menaik taraf dan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam sedia ada iaitu di terminal bas di Seksyen 17 dan 19.

“Terminal bas di Seksyen 19 akan dibangunkan dengan kos RM4 juta manakala terminal bas di Seksyen 17 dengan kos RM7 juta yang mana kita akan memohon kos tambahan itu,” katanya.

Beliau berkata, MBSA juga merancang menubuhkan sebuah Dewan Banquet bertaraf antarabangsa di kawasan Seksyen 13 pada masa depan dengan anggaran kos RM27 juta.


Pengarang :