Selangorkini
SELANGOR

OKU terus dibantu pada Belanjawan 2014 Selangor

rodziah oku

SHAH ALAM, 19 OKT : Kerajaan Negeri akan melaksanakan Skim Bantuan Khas Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai galakan kepada golongan itu supaya mampu berdikari meningkatkan taraf hidup lebih baik.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, pelaksanaan skim itu akan dibentangkan dalam Belanjawan 2014 pada November depan yang menyediakan pelbagai program bagi memberi manfaat kepada OKU untuk jangka masa panjang.

Kata Rodziah, skim ini bermatlamat memberikan peluang sama rata kepada semua pihak dengan harapan agar golongan itu juga dapat bersama-sama mencapai kejayaan.

“OKU diberikan halatuju jelas masa depan mereka sejurus selepas tamat belajar dengan mengambil contoh skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) yang berjaya menghasilkan usahawan dengan pinjaman kecil-kecilan.

“Saya mahu golongan OKU mencontohi kejayaan itu melalui usaha mereka sendiri,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan dan Pemulihan Harian Ramah di Seksyen 10, di sini.

Dalam lawatan itu, Rodziah meluangkan masa beramah mesra bersama 20 kanak-kanak istimewa dan menyerahkan sumbangan berupa peralatan mainan untuk pembelajaran daripada Kerajaan Negeri.

Dalam perkembangan lain, Rodziah yang juga Adun Batu Tiga itu berkata, beliau akan berbincang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyediakan kawasan lebih selesa bagi kemudahan kanak-kanak OKU di pusat jagaan itu.

Katanya, dewan, bangunan atau kuarters kerajaan negeri yang tidak digunakan bakal dipertimbangkan sebagai lokasi baru bagi pusat jagaan itu.

“Pihak Majlis diharap mana-mana dewan yang tidak digunakan, bolehlah dicadangkan untuk menggantikan pusat jagaan sedia ada.

“Kita juga akan berbincang mana-mana bangunan kerajaan yang tidak digunakan boleh diberikan kepada pihak memerlukan,” katanya.

– EZY-


Pengarang :