Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Cemerlang SPM DUN Sementa terima hadiah istimewa

Dr Daroyah Alwi pelajar cemerlang

SHAH ALAM 22 OKT : Pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa bakal menerima hadiah istimewa.

ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi, berkata ganjaran yang dijanjikan itu sebagai peransang kepada calon SPM untuk berusaha dan fokus dalam menghadapi peperiksaan yang akan berlangsung, pada November ini.

Katanya, ganjaran itu akan diberikan kepada pelajar seluruh DUN berkenaan yang berjaya mendapatk keputusan A untuk semua mata pelajaran.

“Sesiapa pelajar SPM dari DUN Sementa tidak kira bangsa Melayu, India atau Cina yang berjaya mendapatkan keputusan A untuk semua mata pelajaran, perlu berjumpa saya untuk mendapatkan hadiah istimewa yang dijanjikan itu.

“Selepas keputusan SPM dikeluarkan nanti, mereka boleh terus pergi ke Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sementa untuk memberi butiran terbabit dan kejayaan mereka akan diraikan.

“Sebagai ADUN, kejayaan yang mereka kecapi adalah kebahagiaan saya dan dorongan ini diharap bakal memotivasikan mereka serta membakar keazaman yang tinggi untuk terus berusaha demi mencapai apa dicita-citakan,? katanya dalam ucapan penutup bagi program Seminar Fastrack SPM 2013 di Dewan Kuliah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), baru-baru ini.

Seminar satu hari anjuran Biro pendidikan dan PKM DUN Sementa itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan dan berjaya mengumpulkan kira-kira 120 calon SPM dari seluruh sekolah kawasan berkenaan di bawah Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Daroyah yang juga Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata inisiatif kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi melaksanakan PTRS terbabit dilihat sangat relaven dan bijak.

“Bukan semua keluarga mampu menghantar anak mereka mendapatkan kelas tuisyen. Dengan adanya PTRS, kita dapat membantu mengurangkan beban mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pendidikan generasi muda pelapis negara adalah keutamaan kepada kerajaan negeri demi melahirkan modal insan cemerlang yang akan menyambung legasi kejayaan di Selangor,? katanya.

-NFN-


Pengarang :