Selangorkini
SELANGOR

Pelajar UNISEL sambut baik langkah kerajaan negeri ambil alih kontrak Jana Niaga

Unisel-Grafik

SHAH ALAM 29 OKT: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Selangor (UNISEL) menganggap langkah kerajaan negeri mengambil alih kontrak penyelenggaraan dan membaiki bangunan daripada Jana Niaga Sdn Bhd sebagai satu perkembangan positif bagi menyelesaikan masalah kediaman pelajar.

Naib Yang DiPertua (NYDP) MPP, Ibrahim Junaidi, berkata sebelum ini pelajar universiti berkenaan ditempatkan di beberapa kawasan penempatan sementara yang terletak di Tasik Puteri, Kota Puteri, Bukit Minyak dan Taman Ilmu, sejak awal tahun.

Katanya, keadaan itu menimbulkan kesulitan kepada pelajar yang terpaksa berulang-alik ke dewan kuliah sehingga menganggu masa pembelajaran mereka.Ibrahim Junaidi

“Kami berharap langkah ini dapat mempercepatkan penempatan semula pelajar ke kolej kediaman. Kami terpaksa menaiki bas ke kampus dan hal ini memakan masa kerana jarak yang agak jauh, berbanding jika tinggal di kampus,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan kerajaan kegeri memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan penambahbaikan asrama UNISEL dan dijangka siap selewat-lewatnya, pada Jun 2014.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri komited membaikpulih bangunan asrama yang tidak boleh digunakan lagi bagi tujuan kemudahan infrastruktur pelajar universiti berkenaan.

?Blok bangunan itu sudah tidak boleh pakai dan kita akan laksanakan program penambahbaikan ‘Baiki dan Selenggara’ dengan peruntukan diberikan kepada pihak universiti untuk menjalankan kerja terbabit,? katanya. -NFN-

 


Pengarang :