Selangorkini
NASIONAL

Pelaksanaan GST: Rakyat Sabah dan Sarawak lebih terbeban

Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien FattKUALA LUMPUR 28 OKT : Rakyat Sabah dan Sarawak akan lebih terbeban jika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan oleh kerajaan pusat, dalam masa terdekat.

Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien Fatt, berkata bebanan itu akan berlaku disebabkan rakyat Sabah berpendapatan jauh lebih rendah daripada rakyat di Semenanjung.

Katanya, kos sara hidup rakyat negeri itu juga akan meningkat disebabkan harga barangan yang tinggi melalui polisi ‘karbotaj’ pelaksanaan GST sebanyak enam peratus.

“Rakyat Sabah memang akan terbeban jika GST diteruskan kerana majoriti rakyat berpendapatan 30 hingga 40 peratus lebih rendah daripada Semenanjung.

“Selain pendapatan yang rendah, rakyat Sabah juga mempunyai masalah harga minyak yang lebih mahal dari Semenanjung,” katanya pada sidang media, di Parlimen, hari ini.

Tien Fatt juga turut mendesak supaya semua barang di Sabah dan Sarawak diselaraskan apabila  GST diperkenalkan dalam tempoh setahun akan datang.

“Jika GST diteruskan, rakyat Sabah terpaksa membayar harga barang lebih mahal daripada sepatutnya. Kita harap jika betul mahu melaksanakan GST, kerajaan pusat perlu menyelaraskan harga semua barang di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung,” katanya.

-NFN-


Pengarang :