Selangorkini
SELANGOR

Pelan penempatan semula penduduk Lembah Bertam wajar diberi perhatian

cameron-highlands

CAMERON HIGHLANDS 29 OKT – Kerajaan Pahang digesa membuat pelan penempatan semula penduduk sekitar Lembah Bertam memandangkan kejadian banjir lumpur yang berlaku kerap berlaku, selain insiden terbaru, pada 23 Oktober lalu.

EXCO Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail, isu penempatan lebih baik dan selesa perlu diutamakan demi keselamatan rakyat walaupun kerajaan pusat mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi melebar serta mendalamkan Sungai Bertam, pada pembentangan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

“Hal ini kerana tanah rizab sungai tidak lagi menjadi lokasi sesuai untuk penempatan penduduk disebabkan kekerapan taburan hujan setiap hujung tahun.

“Saya ingin menggesa kerajaan Pahang mengambil sedikit sensitiviti dan melihat isu perumahan di rizab sungai atau kawasan penempatan yang sudah tidak sesuai dengan melaksanakan pelan penempatan semula.

“Hasil tinjauan perbualan saya bersama beberapa penduduk, kejadian banjir lumpur ini sudah banyak kali berulang. Justeru sudah tiba masa untuk kerajaan Pahang melihat perkara ini dengan lebih serius dengan menempatkan semula mangsa dan membaikpulih kawasan sekitar,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.

Rodziah mewakili Kerajaan Selangor melakukan lawatan ke kawasan banjir lumpur yang meragut tiga nyawa, selain seorang mangsa yang masih  hilang dan turut memusnahkan 80 kediaman dan kira-kira 100 kenderaan, pada 26 Oktober lalu.

Katanya, kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada mangsa banjir, selain memutuskan peruntukan sumbangan berjumlah RM50,000 yang akan diagihkan dalam kadar segera.

“Peruntukan sudah diluluskan, namun bentuk sumbangan masih belum diputuskan dan akan dibincangkan pada Mesyuarat EXCO minggu ini. Selain itu, terdapat beberapa perkara daripada kejadian ini boleh dijadikan iktibar walaupun bencana berkenaan adalah di luar jangkaan,” katanya. -NFN-

 


Pengarang :