NASIONAL

Pengurangan gaji pekerja kontrak JPM bantu elak pembaziran

Ong Kian Ming 01

KUALA LUMPUR 29 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disaran mengurangkan gaji pekerja kontrak di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang jauh lebih tinggi daripada penjawat awam.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata pengurangan gaji pekerja kontrak itu akan dapat mengurangkan belanjawan JPM yang melonjak ke paras tertinggi, pada tahun depan.

Katanya, pengurangan itu juga dilihat dapat mengelakkan pembaziran dalam pembayaran gaji yang tinggi bagi jabatan berkenaan.

“Kalau Najib serius meminta rakyat untuk mengubah cara hidup dengan menangani kos hidup yang tinggi kerana subsidi dikurangkan, selain cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan, maka beliau perlu mengurangkan perbelanjaan JPM,” katanya dalam sidang media, di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Kian Ming memberikan contoh gaji dan elaun yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia berjumlah RM830,500 setahun iaitu kira-kira RM69,000 sebulan.

Selain itu, CEO Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dibayar gaji dan elaun RM622,000 setahun, manakala CEO bagi TalentCorp pula RM420,000 setahun.

Beliau berkata gaji tiga CEO berkenaan lebih banyak berbanding Ketua Setiausaha Negara yang menerima gaji RM23,577 sebulan.

“Contoh ini membabitkan sebahagian agensi di bawah JPM, namun ada ramai lagi CEO mendapat gaji lebih tinggi seperti pengurus kanan yang sama taraf dengan Gred 54, tetapi dibayar gaji jauh lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, Kian Ming berkata, Najib juga perlu menghentikan penubuhan agensi baru seperti Yayasan Hijau kerana agensi sedia ada seperti Malaysia GreenTech mempunyai fungsi sama dengan yayasan yang bakal dibangunkan itu.

Belanjawan JPM melonjak ke angkang 13 peratus menjadikannya sebanyak RM16.45 bilion dan jumlah itu adalah peruntukan tertinggi memecahkan rekod sebelum ini iaitu RM15.62 bilion (2011), yang diumumkan dalam Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

– NFN-


Pengarang :