Selangorkini
SELANGOR

Pesalah tidak boleh didakwa selagi tiada tindakan daripada SPRM

sprm husin aliSHAH ALAM, 9 OKT : Senator Selangor, Dr Syed Husin Ali bersetuju sekiranya mana-mana kakitangan awam yang didapati melakukan penyelewengan ke atas peruntukan jabatan didakwa di mahkamah.

Namun, beliau tetap mempertikaikan sama ada tindakan itu boleh dilaksanakan memandangkan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat lebih selesa berdiam diri setiap kali salah laku dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Tiap-tiap tahun ada laporan tentang penyelewengan yang berlaku, tetapi biasalah tiada follow up atau tindakan yang akan diambil.

“Disebabkan tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa, bagaimana hendak dakwa pesalah ini ke mahkamah? Saya tidak pernah dengar lagi penyelewengan yang dilaporkan audit dibawa ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Para senator yang bersidang di Dewan Negara bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2013 menggesa tindakan tegas diambil ke atas mereka yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan peruntukan.

Selain daripada tindakan pecat, kakitangan atau pegawai kerajaan yang melakukan penyelewengan juga perlu didakwa di mahkamah supaya hal sama tidak berulang lagi.

Syed Husin menyifatkan pembentangan Laporan Ketua Audit seperti ritual yang dilakukan setiap tahun. Tanpa tindakan tegas keatas pelaku dan pemantauan ketat yang berterusan menyebabkan kegiatan itu terus berleluasa tanpa timbul rasa takut.

“Amalan dah memang begitu. Tiada tindakan tegas kerana ia juga dilakukan pihak atasan di bahagian lain,” katanya lagi.

Dewan Rakyat mulai bersidang 23 September lepas dan akan berakhir pada 30 Oktober depan.


Pengarang :