NASIONAL

Pindaan PCA, Suaram gesa PBB bertindak

suaram PCA 1

SHAH ALAM 5 OKT :  Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar memberikan perhatian bisu hak asasi manusia di Malaysia ekoran pindaan Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (PCA) yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Pengarah Eksekutif Suaram, Nalini Elumalai, berkata beliau menggesa Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon dan Pesuruhjaya Tertinggi Hak Asasi Manusia PBB, Madam Navanethem  Pillay untuk menilai isu pindaan PCA itu dalam laporan PBB berkenaan Malaysia.

Kata Nalini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak memungkiri janji pilihan rayanya untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan memperkenalkan semula tahanan dalam bicara melalui pindaan PCA baru-baru ini.

“SUARAM prihatin terhadap isu hak asasi manusia di Malaysia yang kini dalam ancaman serius kerana kerajaan menghadkan kebebasan bersuara, berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan sementara membenarkan penahanan tanpa bicara, mengabaikan kekejaman polis dan menjejaskan hak orang asli dan kumpulan minoriti,” kata Nalini.

Nalini berkata demikian dalam surat terbuka Suaram yang dihantar kepada Ban Ki Moon dan Madam Navanethem Pillay, dan disiarkan di laman Facebook Suaram.

Katanya, Suaram mengecam tindakan pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di Malaysia dan mendesak dunia antarabangsa agar memberikan tekanan kepada pentadbiran Najib Razak agar menghentikan sebarang tindakan pelanggaran hak asasi manusia.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mempunyai kewajipan untuk memastikan demokrasi dan hak asasi manusia ditegakkan dan tidak menutup mata ketika menyokong retorik kosong pembaharuan kerajaan Najib Razak.

“Kerajaan Malaysia tidak boleh melepaskan diri dengan bermain di bibir dengan hak asasi manusia dan demokrasi dalam usaha untuk mengekalkan kedudukannya dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB,” kata Nalini.


Pengarang :