Selangorkini
Pelbagai

PKNS selesai masalah penduduk pangsapuri PJS 6

sampah pjsSHAH ALAM, 21 OKT : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sudah mengarahkan kontraktor yang bertanggungjawab mengambil tindakan membersihkan longgokan sampah di kawasan pangsapuri Petaling Jaya Selatan (PJS) 6.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim, berkata longgokan sampah pukal yang berlaku di kawasan berkenaan disebabkan pembuangan sampah oleh pihak luar kerana pangsapuri itu berdekatan dengan tapak pasar malam dan gerai makan.

Tinjauan TV Selangor mendapati rumah sampah kecil yang dikhaskan untuk pembuangan sisa pepejal di kawasan itu gagal diuruskan dengan baik dan terdapat pembuangan sisa domestik seperti barangan rumah dan rangka kenderaan.

Masalah berkenaan mengundang rasa tidak selesa penduduk dan membawa kepada pembiakan tikus yang boleh mengancam kesihatan penduduk setempat.

“Kita terima aduan itu dan sudah ambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.

kumbahan sunwaySementara itu, Ishak berkata, kerja membaik pulih saluran air kumbahan melimpah di Blok 2,3,4 dan 5 Pangsapuri PKNS Jalan PJS 8/14, Bandar Sunway juga akan dilaksanakan segera.

Beliau berkata, PKNS dan Indah Water Konsortium (IWK) akan bekerjasama bagi memastikan isu itu diselesaikan secepat mungkin walaupun sebelum ini IWK mendakwa paip kumbahan patah di dalam sempadan pangsapuri PKNS ketika penyerahan tugas penyelenggaraan kepada syarikat pembentungan itu.

“PKNS sudah melantik perunding teknikal untuk mengenal pasti punca sebenar limpahan air kumbahan ini berlaku. Kaedah kamera robotik digunakan bagi memeriksa kedudukan paip kumbahan sama ada patah atau sebaliknya,? katanya.

Katanya lagi, laporan penuh siasatan itu akan digunakan bagi membaiki pam yang menyebabkan air kumbahan melimpah supaya penduduk sekitar pangsapuri berkenaan tidak perlu lagi berdepan dengan masalah terbabit. -NFN-


Pengarang :