Selangorkini
NASIONAL

PKR gesa tubuh IPCMC bagi tangani isu ‘tembak dahulu’

nurul - tembak

SHAH ALAM 13 OKT : Ketua Polis Negara (KPN) perlu mewujudkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menyelesaikan isu ‘tembak dahulu’ dengan berkesan, tegas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Kata Azmin, beliau merujuk kepada cabaran KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar terhadap Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran untuk ‘menemani’ Polis dalam operasi memerangi jenayah.

“Daripada mengeluarkan cabaran itu, KPN perlu menangani masalah rakyat dengan (bertindak ke atas) kenyataan mengejutkan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lebih seminggu lalu,” kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid pada majlis taklimat keselamatan kepada pemimpin masyarakat di Ayer Keroh mencadangkan dasar “tembak dahulu” kepada polis dalam menangani ahli kongsi gelap yang disyaki.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata KPN perlu menumpukan memperbaiki kelemahan Polis dengan berusaha mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bagi menangani isu itu.

Kata Nurul Izzah, tawaran KPN itu kepada N Surendran untuk menyertai operasi pasukan adalah melanggar prinsip sejagat.

“Surendran, seperti rakyat Malaysia lain, mempunyai hak untuk meminta tahap profesionalisme yang tinggi pihak polis.

“Tiada ahli Parlimen harus menerima layanan polis berat sebelah, saya tidak akan membiarkan rakan saya mengikuti usaha berisiko seperti itu,” kata Nurul Izzah dalam satu kenyataan.


Pengarang :