Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Polis Bantuan untuk rakyat, Zahid enggan ulas

POLIS bantuan

KUALA LUMPUR, 1 OKT : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui di Parlimen, enggan mengulas permohonan tertunggak Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan pasukan Polis Bantuan (PB) untuk menjaga keamanan di semua wilayah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Usaha Selangor Kini mendapatkan respon dari “senjata khas” Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan, ketika rakyat Selangor menyedari jumlah anggota polis yang diturunkan ke lapangan tidak mampu mengekang jenayah yang meruncing.

“Saya tidak mahu ulas mengenai perkara itu sekarang,” katanya kepada pemberita selepas sesi Dewan Rakyat di ruang legar Parlimen hari ini.

Selangor Kini sebelum ini melaporkan PBT-PBT di Selangor bersetuju penubuhan PB adalah perlu untuk membantu meringankan beban PDRM melalui rondaan keselamatan di kawasan perumahan dan komersil.

Untuk menjayakan hasrat murni itu, PBT-PBT di Selangor bukan sahaja memohon untuk menubuhkan pasukan PB masing-masing, tetapi juga meminta pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) membenarkan kuasa PB diperluas untuk memelihara keamanan di kawasan perumahan dan komersil.

Setakat ini, kuasa yang dibenarkan hanyalah menjaga premis dan pejabat kerajaan sahaja.

Atas desakan orang ramai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akhirnya bersetuju untuk memberi kelulusan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menubuhkan pasukan polis bantuan dengan kekuatan 50 anggota, tetapi masih untuk menjaga premis dan pejabat kerajaan sahaja.

Permohonan untuk PBT lain masih tidak diluluskan.


Pengarang :